Site icon LayarMinda

Cuba Lagi Setelah Peluang Kedua

Maaf Cakap 25 Oktober 2019

Peluang kedua. Frasa ini lazimnya membawa konotasi bahawa peluang kedua yang diberikan itu adalah peluang yang terakhir. Maknanya, apabila peluang pertama tidak mendatangkan hasil yang baik, maka peluang kedua diambil dengan niat, kalau peluang yang kedua itu pun tidak mendatangkan natijah yang baik, lebih elok berhenti mencuba lagi.

Peluang kedua mengambil peperiksaan, peluang kedua yang isteri beri kepada suami agar tak curang lagi atau peluang kedua mencuba sesuatu bidang baharu akan dianggap gagal secara mutlak sekiranya peluang yang kedua itu tidak berjaya mendatangkan hasil yang diharapkan.

Bagaimana pun, jika direnung semula, apakah kegagalan dalam peluang kedua, itulah pengakhiran? Maka jangan harap peluang ketiga atau keempat akan mengubah kegagalan menjadi kejayaan.

Nanti dahulu. Kita bukan sahaja tidak boleh serik dalam mencuba. Kita juga jangan serik dalam memberi orang lain mencuba dan mencuba lagi. Tamsilannya, seandainya kita sebagai hamba-NYA melakukan kesilapan buat kali pertama lalu meminta ampun; kemudian buat kesilapan kedua lalu meminta ampun lagi, maka tidak ada istighfar dan taubat setelah kesilapan kedua sekiranya ALLAH hanya memberi dua peluang sahaja untuk memohon ampun!

Maknanya, sekiranya kita tidak malu memohon ampun setelah melakukan kesilapan entah ke berapa kali kerana mengharap kesilapan itu akan diampunkan ALLAH Yang Maha Pengampun, maka kita sepatutnya berlapang dada untuk memberi peluang yang ketiga dan seterusnya kepada sesiapa sahaja yang ingin mencuba lagi.

Ini adalah kerana, bukan semua insan dapat mengubah dari gagal kepada berjaya hanya setelah mencuba sekali lagi. Jika kita renungkan, kita sendiri menggunakan peluang lebih dari dua kali dalam pelbagai situasi untuk menangani sesuatu yang gagal hingga berjaya.

Hendak pandai mengayuh basikal pun akibat jatuh lebih dari tiga empat kali, hendak buat kek yang tidak bentat, menjawab latihan matematik atau mengikat tudung gaya baharu itu kesemuanya biasa dilakukan lebih daripada dua kali. Lupakan pada kepercayaan bahawa peluang hanya ada dua kali sahaja.

Menangani sesuatu perkara itu bukannya ada satu cara sahaja. Maksud saya, apabila kita gagal melakukan sesuatu pada kali pertama, kedua mahupun yang ketiga dan akhirnya berjaya pada kali keempat, ia tidak bermakna hanya ada satu cara sahaja untuk berjaya iaitu dengan melakukan sesuatu dengan pendekatan yang keempat. Barangkali, cara kelima dan keenam pun boleh berjaya dan cara ketujuh hingga kesepuluh menghasilkan kegagalan.

Ertinya, jika untuk gagal ada lebih daripada satu cara, untuk berjaya juga mempunyai lebih dari satu cara. Kita kena lihat usaha untuk berjaya dalam sesuatu perkara itu bermakna usaha mencuba hingga berjaya. Jika tidak berjaya mendapat hasil yang diingini, kita berjaya mendapat pengalaman dan kesabaran. Itu adalah kesan sampingan dalam mencuba. Sementara itu, berhenti mencuba itu pula menjamin kegagalan.

Kadangkala kejayaan atau kegagalan dalam mencuba itu bukan semata-mata kerana pendekatan cara menyelesaikan masalah. Tetapi faktor masa yang boleh mengubah hasil cubaan itu. Seorang anak yang meminta aiskrim ketika si ibu sedang sibuk di dapur tentu tidak akan berjaya. Tetapi jika si anak meminta aiskrim setelah si ibu selesai memasak, maka dengan mudah dia akan mendapatnya.

Faktor masa sering dilupakan dalam kita berusaha mencapai sesuatu. Misalnya, begitu banyak produk yang gagal pada peringkat mula-mula ia diperkenalkan kerana ia mendahului zaman. Contohnya bubble wrap, iaitu bungkusan plastik yang berbiji-biji yang biasa kita temui jika kita menerima bungkusan pos. Bubble wrap diperkenalkan pada tahun 1960. Ia gagal menarik hati industri sehinggalah ia digunapakai oleh IBM untuk membungkus komputer.

Dengan pendekatan cara, Netflix, sebuah perkhidmatan hiburan filem secara atas talian yang memulakan operasi pada tahun 1997 hanya membekalkan DVD secara atas talian tidak berjaya memikat hati pengguna kerana hanya memperoleh ratusan ribu pelanggan. Ia mencuba lagi dengan pendekatan berbeza iaitu dengan memberi perkhidmatan hiburan streaming. Kemudian ia menghasilkan filem dan siri yang tersendiri. Pada hari ini 190 buah negara mempunyai rangkaian siarannya.

Dunia pada hari ini adalah dunia yang tidak menentu. Terlalu banyak faktor yang menentukan pada keputusan yang kita ambil dan risiko yang bakal menjelma kesan daripada keputusan kita itu. Yang berjaya boleh merudum pada keesokan harinya. Yang gagal boleh melonjak ke carta ke atas. Tidak ada formula khusus untuk berjaya. Tiada juga panduan khusus untuk mengelak kegagalan.

Terlalu banyak faktor yang boleh menggagal atau menjayakan apa yang kita lakukan. Justeru itu, konsep peluang kedua dalam menangani sesuatu sudah tidak relevan lagi. Barangkali, kita kena beri peluang ke 1000 dalam mencuba seperti Thomas Elva Edison yang membuat lebih 1,000 percubaan untuk menyalakan lampu elektrik. Barangkali juga, Thomas Elva Edison adalah insan yang telah mendahului zamannya.

Exit mobile version