SITI HALIZA YUSOP/BH ONLINE/17 SEP

KUALA LUMPUR: Usaha pengedaran buku dan karya Malaysia ke pasaran China disifatkan langkah bijak berdasarkan senario perkembangan pesat industri buku di negara itu sejak lebih empat dekad lalu.

Ruang pameran Beijing International Book Fair 2019 ~ foto BIBF
Ruang pameran Beijing International Book Fair 2019 ~ foto BIBF

Gambaran pasaran buku yang memberangsangkan di negara itu antara boleh dilihat daripada laporan Books and Periodicals Distribution Association China.

Menurut laporan itu, republik berkenaan menutup tirai 2018 dengan 225,000 kedai buku dan cawangannya, sekali gus mencatatkan peningkatan 4.3 peratus berbanding 2017.

Usaha menembusi pasaran buku di negara yang mempunyai penduduk teramai di dunia itu tentunya satu idea sangat menguntungkan.

Namun strategi pemasaran bagaimanakah yang benar-benar boleh menjayakan hasrat itu supaya usaha memasarkan karya ke China?

Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berucap di BIBF 2019 ~ foto RTM

Pengarah Urusan Kumpulan Sasbadi Holding Berhad (Sasbadi), Law Khing Hui, mengakui bukan mudah untuk menarik perhatian pembaca China untuk membaca karya pengarang tanah air.

Sebagai penerbit kata Khing Hui, antara keutamaan perlu diberi perhatian ialah membuat kajian terhadap sasaran pasaran yang perlu dilakukan berpandukan data dan bukannya persepsi semata-mata.

“Penggunaan dan analisis terhadap data ini penting kerana kepelbagaian genre yang ada dalam pasaran menyebabkan kita tidak boleh menggunakan data yang sama.

Produk yang berbeza sifatnya, memerlukan sifat dan strategi berlainan, justeru ciri komersialnya juga tidak sama.

China memiliki data terperinci mengenai jualan bukunya. Maklumat dikumpul bukan hanya membabitkan genre terlaris dan penerbit saja malah mengandungi maklumat mengikut kumpulan umur pembaca,” katanya kepada BH, di sini.

Kementerian Pelajaran usaha edar Karya Sasterawan Negara di China

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Penerbitan Antarabangsa Beijing 2019 berkata, Malaysia berhasrat meneroka kerjasama untuk memperkenalkan karya hebat sasterawan negara di China.

Khing Hui berkata, naskhah yang membawa unsur tempatan boleh menjadi elemen pelaris unik tetapi faktor lain termasuk ilustrasi menarik dan harga jualan buku di sana perlu diambil kira.

“Penerbit perlu membuat rujukan apa yang disukai pembaca daripada negara itu dan kemudian berbalik kepada keistimewaan kita dengan mengetengahkan unsur tempatan serta menjadikannya sebagai faktor pelaris,” katanya.

Sasbadi baru-baru ini berjaya memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MOU) dengan penerbit di China, iaitu People’s Education Press (PEP) di bawah Kementerian Pendidikan China bagi tujuan kerjasama dua hala.

Menurut Khing Hui, perkembangan pesat teknologi pada abad ke-21 menyebabkan kerjasama dengan penerbit lain menjadi keperluan dan bukan sekadar strategi untuk memahami pasaran.

Kedai buku Zhongshuge di Hangzhou, China ~ foto dailymail

Ini kerana katanya, dengan kecanggihan teknologi, masa diambil bagi membangunkan sesuatu produk semakin singkat, sekali gus menyebabkan jangka hayatnya dalam pasaran semakin pendek.

“Dalam hal penyediaan bahan bagi pelajar pendidikan khas misalnya, tanpa kerjasama Sasbadi terpaksa membangunkan bahan itu dengan sendiri.

“Proses ini memakan masa, malah kami perlu menubuhkan pasukan pakar dan membuat kajian berkali-kali.

“Bagaimanapun melalui kerjasama penerbit luar, semua proses ini tidak perlu dilakukan dari awal, sekali gus menjimatkan lebih banyak masa dan kos,” katanya.

Jom baca mengenai pengedaran buku dan karya di China di pautan asal!
https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/09/607718/tembusi-pasaran-buku-china-langkah-bijak