Site icon LayarMinda

Buku Melayu di Pesta Buku Antarabangsa Beijing

PUTRAJAYA – Malaysia menjadikan China sebagai ekosistem dinamik terhadap industri perbukuan bagi kedua-dua negara. Saat membanggakan apabila ada buku berbahasa Melayu yang dipamerkan di Pesta Buku Beijing!

Dr. Maszlee Malik membuat ucapan di Pesta Buku Antarabangsa Beijing 2019 ~ foto facebook Dr. Maszlee Malik

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama sempena Forum Penerbitan Antarabangsa Beijing 2019, berkata Malaysia sentiasa memandang China sebagai destinasi terbaik bagi sektor ekonomi dan budaya.

“Usaha ini termasuk aspek penterjemahan dan pemasaran, perkara ini amat penting bagi memastikan karya-karya besar Malaysia dapat dihebahkan ke serata dunia.

Sehubungan itu, katanya, hubungan kedua-dua negara akan dimanfaatkan sebaiknya untuk meneroka kerjasama lebih luas demi mewujudkan ekosistem dinamik terhadap industri buku Malaysia-China.

Dr. Maszlee berkunjung di pejabat Vice Minister, Publicity Department China, Jiang Jianguo ~ Foto Facebook Dr. Maszlee

 “Malaysia kini giat meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat dan merancakkan pertumbuhan industri buku negara.

“Kepentingan industri buku negara bukan sekadar soal perniagaan semata-mata, namun ia turut menyentuh hal berkaitan silang budaya dan pengukuhan ilmu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kelmarin menjadi detik bersejarah buat lapangan sastera negara apabila 10 karya penting Sasterawan Negara telah diterjemahkan dalam bahasa Mandarin dan bakal dipasarkan di seluruh China.

Pelancaran 10 buku antaranya berbahasa Melayu ini telah berlangsung semasa Beijing International Book Fair 2019.Usaha penting ini telah dijayakan melalui kerjasama erat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Guangxi Normal University Press.

Dr. Maszlee berposing di sisi poster Sasterawan-sasterawan Negara ~ foto Facebook Dr. Maszlee

10 judul yang terlibat adalah seperti berikut:

1. Srengenge – Shahnon Ahmad
2. Warkah Eropah – A. Samad Said
3. Saudagar Besar di KL – Keris Mas
4. Tivi – Shahnon Ahmad
5. Naratif Ogonshoto – Anwar Ridhwan
6. Salasilah – Zurinah Hassan
7. Postponing Truth and Other Poems – Baha Zain
8. Rimba Harapan – Keris Mas
9. Juara – S. Othman Kelantan
10. Hari-hari Terakhir Seorang Seniman – Anwar Ridhwan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menaruh kepercayaan penuh terhadap DBP untuk terus meneroka peluang kerjasama seperti ini bagi memastikan karya-karya penting Sasterawan Negara dapat terus dimartabatkan.

Dalam pertemuan Dr. Maszlee dengan Vice Minister, Publicity Department China, Jiang Jianguo, Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menjadi negara tamu Beijing International Book Fair bagi tahun 2021, selaras dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020.

Exit mobile version