Site icon LayarMinda

Salahkah Menjadi Penulis Upahan?

GHOST WRITER. Penulis upahan. Adakah mereka orang yang sama? Ia. Pada pendapat Kak Pah mereka adalah orang yang sama. Dan tidak ada salahnya menjadi ghost writer dan penulis upahan itu. Dalam bahasa yang mudah, mereka menulis dan menerima bayaran untuk kerja-kerja penulisan bagi pihak orang lain.

Penulis upahan adalah meraka yang dibayar untuk menulis satu buku, rencana atau apa sahaja bentuk penulisan. Foto ~ natmonitor.com

Ia bukan satu kesalahan. Nama mereka tidak ditulis pada naskah tulisan mereka tetapi diletak nama orang lain pun bukan satu kesalahan, asalkan ada perjanjian yang dipersetujui bersama. Seingat Kak Pah istilah penulis upahan ini mula popular sejak awal 80-an.

Pada masa itu, ramai ahli politik meminta para penulis ini menulis buku, rencana, makalah atau apa sahaja bentuk penulisan yang boleh sampai kepada masyarakat bagi pihak mereka. Biasanya penulisan berkisar mengenai diri orang yang mengupah, mengenai kisah hidup mereka, mengenai aktiviti politik mereka, malah mengenai jasa baik yang mereka lakukan kepada masyarakat.

Penulis upahan juga dikenali sebagai ghost writer – Foto ~ annyas.com

Pendek kata penulis upahan ini, pada waktu itu sangat sinonim dengan dunia politik. Penulis upahan ini lebih ramai muncul apabila tiba musim pilihanraya. Buku politik, kisah hidup, manifesto, calon pilihan, ramalan jumlah kerusi yang dimenangi, kabinet bayangan dan banyak lagi dijadikan bahan penulisan. Namun keadaan kini sudah berubah. Bahan penulisan penulis upahan atau ghost writer kini sudah pelbagai.

Bukan hanya penggiat politik yang memerlukan mereka, malah hampir semua sektor memerlukan seorang penulis untuk membantu menyebarkan maklumat melalui penulisan. Syarikat pengiklanan, syarikat pengeluar produk, jabatan-jabatan tertentu malah orang perseorangan, sangat memerlukan seorang penulis yang baik untuk membantu mereka menghasilkan penulisan yang baik mengenai mereka.

Sharifah Abu Salem menyokong penglibatan dalam industri penulisan dibayar ini.

Kak Pah menyokong penglibatan mereka dalam industri penulisan yang dibayar ini. Ia merupakan satu lagi ruang menjana pendapatan untuk golongan penulis. Tulislah apa sahaja asalkan ia tidak menyalahi undang-undang dan tidak bertentangan dengan agama. Kak Pah percaya ramai yang memerlukan kemahiran dan kepakaran anda.

Cuma Kak Pah tidak setuju jika para penulis menerima upah untuk menulis sebuah novel, lalu membenarkan orang lain meletakkan nama mereka sebagai penulis novel itu. Bagi Kak Pah, kemampuan menghasilkan karya kreatif adalah satu anugerah besar Dari Yang Maha Esa.

Sanggupkah kita menjual kreativiti dan titik peluh kepada orang yang tidak berhak untuk mendapatkan hak yang Allah sudah anugerahkan kepada kita?

Sharifah Abu Salem (tengah berbaju biru)  bersama para peserta Kursus anjuran syarikatnya

 #misi40kakpah #kursustulisnovel #kursustulisskrip

*Sharifah Abu Salem adalah mantan Editor Kanan di Kumpulan Media Karangkraf. Beliau juga adalah seorang novelis dan penulis skrip drama TV yang berpengalaman.

Exit mobile version