Saya membaca berita The New Paper, Singapura mengenai dua premis gedung buku MPH di negara itu iaitu di Raffles City dan Parkway Parade yang akan ditutup.  Syarikat itu memaklumkan kos sewa yang tinggi merupakan di antara sebab mengapa mereka terpaksa menutup operasi dua cawangan mereka.

Saingan daripada pemain e-commerce tidak boleh tidak adalah di antara penyebab mereka terpaksa menamatkan operasi cawangan-cawangan mereka itu. Menurut mereka, pembaca sudah beralih untuk membaca e-buku di internet atau melupakan sama sekali untuk membaca buku kerana asyik bersembang di media sosial.

Pada April lalu, gedung buku Kinokuniya menutup cawangannya di Liang Court, Singapura kerana isu sewa beli. Ini diikuti penutupan cawangan Kedai Buku Popular  pada Jun baru-baru ini. Untuk rekod, Kedai Buku Popular telah beroperasi di Singapura sejak 31 tahun. Kesimpulannya, tiga jenama besar industri buku, MPH, Kinokuniya dan Kedai Buku Popular sedang berhempas pulas untuk hidup.

Daripada Basra, Iraq saya membaca berita dari The Arab Weekly mengenai industri buku di sana yang juga suram. Safa Diab, tuanpunya Dar Shahriar Publishing House and Bookshop  berkata, mengenai masalah industri buku di negara itu. Di antaranya ialah cabaran penerbitan digital, isu pelanggaran hakcipta, kualiti buku, pembayaran royalti, isu cetak rompak dan minat membaca yang kian berkurangan.

Singapura adalah sebuah negara serba moden dan Iraq pula adalah negara selepas perang yang tidak tentu arah. Jika kita mengambil contoh kedua-dua buah negara ‘maju dan mundur’ itu, bukankah masalah di kedua-dua negara itu sama juga dengan apa yang terjadi di negara kita?

Apa masalah industri buku di negara lain yang tidak dihadapi di negara kita? Saban tahun, kita bercakap mengenai masalah-masalah yang berlaku. Namun, apakah masalah-masalah itu telah diatasi ataupun usaha menyelesaikan masalah itu sedang dilakukan secara konsisten?

Bilakah perjumpaan town hall, persidangan, seminar mahupun forum terakhir diadakan mengenai industri buku? Kita pun dah terlupa. Apakah tidak keterlaluan dikatakan, perbincangan mengenai buku jarang-jarang diadakan melainkan bagi memenuhi agenda di pesta buku semata-mata?

Seandainya perbincangan, kajian mengenai industri buku dan cabaran-cabarannya diadakan secara celam-celum sebagai topik perbincangan, nampak gayanya kertas kerja yang dibentang bakal tersimpan cantik di dalam fail seminar untuk dijadikan bahan momento si pesertanya.

Jika kita serius hendak mengatasi masalah yang dihadapi industri buku, kita perlu wujudkan big plans with big data yang kemudiannya dilaksanakan bersandarkan maklumat yang diperoleh. Tindakan perlulah komprehensif  dan konsisten. Organisasi perancang dan pelaksananya perlulah diwakili oleh setiap komponen pemain industri buku itu sendiri.

Ia perlu diwakili oleh semua seperti Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Yayasan Pembangunan Buku Negara, Perpustakaan Negara, Kota Buku, Persatuan Penerbit Buku, Persatuan Pengedar, Persatuan Pencetak, Persatuan Penulis serta Kelab-kelab buku.

Fokusnya hendaklah kepada khalayak pembaca kerana semua buku diterbitkan untuk ditatap oleh para pembaca.  Kita perlu punyai kerangka penyelidikan seperti syarikat Picodi, sebuah syarikat e-niaga yang mengkaji tabiat membaca dan membeli rakyat di sesebuah negara.

Kenalah fokus with the end in mind, iaitu fokus kepada tujuan industri ini iaitu tidak lain dan tidak bukan ialah untuk melahirkan masyarakat membaca oleh para pembaca. Pembaca adalah komponen terakhir dalam rantaian industri buku.

Pihak pemerintah dan badan-badan yang bertanggungjawab dengan dasar perbukuan harus memfokus kepada pembaca seperti insentif kepada penerbit seperti meminimakan cukai kertas, dakwat dan bahan percetakan. Untuk penulis, skim dana penulis yang diadakan perlu ditambah dananya sebagai insentif kepada golongan ini. Kad diskaun adalah cara yang efektif sebagai penggalak untuk membeli buku.

Pihak penerbit perlu memberi insentif kepada buku-buku yang melepasi sesuatu target jualan selain daripada royalti. Skim royalti pula perlu diberikan sekurang-kurangnya tiga kali setahun kepada penulis. Golongan penulis perlu diberi latihan pemasaran selain daripada penulisan kerana mereka adalah penjual yang terbaik.

Golongan penulis pula perlu menghampiri khalayak pembaca. Mereka perlu selalu adakan program bersama pembaca samada dalam siri-siri bedah buku mahupun berekreasi bersama mereka. Kelab-kelab buku pula perlu dijadikan anak angkat kepada penerbit-penerbit kerana mereka adalah ejen pemasaran yang hampir dengan pembaca.

Pendek kata, seluruh golongan di dalam industri ini perlulah riuh agar kehadiran mereka disedari dan diingati. Dalam dunia media sosial, pihak yang paling bising itulah yang paling didengari dan diikuti. Tidak boleh senyap sunyi seperti akhir-akhir ini.