Site icon LayarMinda

Dua Cawangan MPH ditutup

12 Julai, Singapura – DUA cawangan gedung buku MPH di Raffles City dan Parkway Parade akan ditutup di Singapura.  Syarikat itu memaklumkan kepada The New Paper, mereka sedang mencari lokasi baharu tetapi hanya akan membuka hanya sebuah cawangan.

Premis MPH di Raffles City ~ foto capitaland

Bagaimana pun, mereka enggan memberitahu di manakah premis baharu mereka kerana masih dalam perundingan.  MPH berkata, kos sewa yang tinggi dan saingan daripada pemain e-commerce menjadi di antara penyebab mereka terpaksa menamatkan operasi cawangan-cawangan mereka.

MPH juga berkata, ia sedang menstruktur dan menyusun kembali sumber untuk inisiatif perniagaan yang baharu dan yakin gedung-gedung mereka akan terus menjadi relevan sambil mengambil contoh bagaimana rangkaian gedung buku di Britain telah mengatasi cabaran dan menjana kembali keuntungan.

Ketika The New Paper ke cawangan Parkway Parade Selasa lalu, rak-rak bukunya masih sarat. Yang ada hanya kotak-kotak di bahagian belakang sebagai tanda yang mereka sedang bersedia untuk berpindah. Namun, di Raffles City, kebanyakan rak-raknya sudah kosong.

Kinokuniya menutup cawangannya di Liang Court ~ foto kinokuniya

Pada April lalu, gedung buku Kinokuniya menutup cawangannya di Liang Court kerana isu sewa beli. Ini diikuti penutupan cawangan Kedai Buku Popular  pada Jun baru-baru ini. Kedai Buku Popular telah beroperasi di Singapura sejak 31 tahun.

Penutupan gedung buku MPH membawa makna yang buruk untuk industri buku tempatan, ujar Pengasas dan Penerbit Epigram Books, Edmund Wee.

“Semakin  kurang cawangan, semakin sedikit penerbit dapat menjual buku dan semakin sedikit juga tempat pembaca membeli buku.”

“Penulis akan terus menulis. Jadi, pihak penerbit kenalah kreatif mencari jalan untuk menjual buku.”

Kedai Buku Popular Singapura juga menutup cawangannya ~ foto capitaland

MPH di Raffles City akan mengadakan jualan penutupan pada 28 Julai dengan diskaun 30 % bagi semua barangan dan 50 % bagi buku-buku terpilih.

MPH di Parkway Parade pula akan mengadakan jualan penutupan mereka pada bulan hadapan.

Pautan berita dari The New Paper:

https://www.tnp.sg/news/singapore/mph-bookstores-close-last-two-outlets-cites-high-rental-costs?fbclid=IwAR3GfWfuVRdGNQP3L6WYRZt3lMImFwNqLExBSMX2fWyRVdkGo0s4zDAuv8o

Exit mobile version