Site icon LayarMinda

Kita Makin Gemar Beli Makanan

Minggu pertama selepas hari raya baru-baru ini, saya bertemu dengan Saidin, peniaga nasi lemak. Secara kebetulan, dia baharu sahaja menghantar 50 bungkus nasi lemak ke restoran di mana saya selalu bersarapan. Saya kaget bertemunya kerana pada fikiran saya, Saidin sudah tidak berniaga lagi.

Saya kenal Saidin kerana saya selalu membeli nasi lemaknya tatkala dia membuka gerai di tepi jalan dua tahun lalu. Sudah lama juga saya tidak nampak dia berniaga. Saya ingat, dia sudah berpindah atau sudah tukar perniagaan. Rupa-rupanya dia menjual nasi lemak bungkus pula. Dan, nasi lemak air tangan dialah yang selalu saya jadikan hidangan sarapan selama ini. Patutlah rasanya seperti yang Saidin buat.

Sambil bersalaman dan mengucapkan selamat hari raya, saya sempat bertanya, mengapa dia menutup gerainya. Jawab Saidin, menjual nasi lemak, mi hun,  kuih-muih dan pelbagai juadah itu agak remeh. Berniaga nasi lemak bungkus lagi mudah. Hanya satu barangan dan tak banyak kerenah. Pagi dia hantar nasi lemak, pada sebelah petang dia hanya kutip duit dan sebungkus-dua nasi yang tak laku.

Saya sempat bertanya, berapa bungkus nasi lemak yang dia edar dalam sehari? Katanya, dia menghantar tidak kurang 700 bungkus nasi lemak ke 15 buah restoran berdekatan. Nasi lemaknya berharga RM1.50 di restoran. Barangkali dia jual ke restoran dengan harga RM1.20.

Kalau begitu, Saidin memperoleh pendapatan tidak kurang RM800 sehari. Bila didarab dengan 30 hari, pendapatan kasar Saidin ialah RM24,000! Setahu saya, Saidin tidak pernah mengiklankan jualan nasi lemaknya di dalam Facebooknya atau membuat kempen di mana-mana kumpulan Whatsapp di kawasan perumahan tempat tinggal saya.  

Maknanya, Saidin berniaga tanpa menggunakan pendekatan pemasaran melalui media sosial. Barangkali, pemasaran secara langsung ke restoran-restoran sudah mencukupi bagi Saidin. Kerana itu dia tidak memerlukan media sosial untuk mencadang produknya.

Saya kira lelaki berusia 50an ini bernasib baik kerana mempunyai produk yang biasa tetapi mampu mendapat tempat di restoran-restoran. Dia tidak perlu bergelut dan berjuang dengan mana-mana penjual lain di dalam media sosial.

Saidin tidak perlu kenal dengan setiap pelanggannya sepertimana ketika dia berniaga nasi lemak di tepi jalan. Saya ingat lagi di waktu itu dia kena melayan semua pelanggan dari pelbagai bangsa. Dia mesti memaniskan wajah dan mulutnya untuk memikat hati pelanggan. Ada sahaja topik perbualan yang dia buka agar pelanggannya tidak penat menunggu ketika dia mengambil pesanan.

Pada hari ini, perniagaan di restoran pun perlukan promosi melalui media sosial untuk menarik dan mengekalkan pelanggan. Jika tidak, pelanggan akan terlupa akan kewujudan kedai makan mereka kerana ada berbelas lagi kedai makan lain di kawasan yang berdekatan.

Jika dahulu, orang Melayu biasanya akan keluar makan bersama keluarga bila dapat gaji atau pada hujung-hujung minggu, kini oleh kerana kesibukan dan kesuntukan masa, mereka lebih kerap berkunjung ke restoran ~ tidak kira masa, tidak kira hari.

Jika biasanya mereka yang tidak mahu makan di restoran akan membeli makanan secara bungkusan, kini mereka tidak perlu ke restoran pun. Sebaliknya mereka akan memesan sahaja secara online atau melalui telefon.

Jika pihak restoran tiada menyediakan perkhidmatan menghantar makanan, ada sahaja runner dari Grabfood dan Foodpanda yang sanggup menghantar makanan ke rumah. Perkhidmatan kiriman makanan ke kediaman pula menjadi saingan kepada perniagaan burger dan piza yang selama ini mendapat pelanggan melalui perkhidmatan penghantaran makanan.

Saingan bagi restoran-restoran juga adalah individu-individu yang menyediakan masakan di rumah. Melalui media sosial, mereka menjual makanan. Perkhidmatan runner makanan pun digunakan oleh individu yang menjual makanan dari rumah. Kehadiran mereka sedang menjejaskan perniagaan restoran.

Kita boleh lihat di kawasan-kawasan perumahan, daripada sepuluh restoran yang dibuka, hanya dua-tiga sahaja yang penuh dengan pelanggan sementara yang lain berjuang untuk hidup.

Apabila makanan pun lebih kerap dibeli daripada dimasak sendiri di rumah, maka sinki pun tidak penuh dengan pinggan mangkuk apabila seisi rumah makan daripada  bungkusan. Agaknya, sepuluh tahun akan datang, pinggan mangkuk tidak lagi dijadikan barang hiasan di dalam almari kerana ia sudah jadi tidak penting.

Perubahan perilaku seisi rumah dalam mendapatkan makanan secara beli sudah bukan perilaku orang bujang sahaja. Perubahan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar. Di bandar-bandar kecil pun keadaan ini sedang melanda. Internet memang menglobalkan manusia.

Exit mobile version