TUJUH SASTERAWAN NEGARA menerima Elaun Penghargaan Bulanan RM5,000 sebagai menghargai sumbangan mereka menaikkan martabat Bahasa Melayu dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

Tujuh Sasterawan Negara menerima elaun pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng beramah mesra dengan para Sasterawan Negara pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup kepada Sasterawan Negara ~ foto sinarharian

BERNAMA melaporkan, mereka ialah Datuk Seri Dr A. Samad Said; Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Dr Baharuddin Zainal; dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan, untuk RM5,000 sebulan seorang. Peruntukan tersebut diberikan kepada Kementerian Pendidikan untuk pembiayaan elaun sara hidup itu yang bermula bulan ini.

“Elaun ini diharap dapat membantu menjamin kebajikan, memastikan kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada semua Sasterawan Negara agar terus menyumbangkan idea, pemikiran, keilmuan dan sumbangan karya bermutu tinggi untuk tatapan masyarakat,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Penghargaan Bulanan itu kepada sasterawan berkenaan di sini.

Salah seorang penerima, A. Samad berkata mereka tidak menjangka akan diberi penghargaan kewangan yang begitu munasabah.

“Yang terpenting, tentunya kementerian sendiri mengharapkan wang ini tidak mematikan kita sebagai sasterawan malah menumbuhkan (sumbangan kepada negara),” katanya.

Elaun Penghargaan Bulanan adalah di atas inisiatif Kementerian Pendidikan sebagai usaha mengiktiraf jasa serta menjaga kebajikan karyawan itu. 

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata “Saya yakin sasterawan kita tidak meminta-minta jadi biarlah saya yang meminta untuk pihak sasterawan negara kerana mereka telah berjasa dan memartabatkan sastera dan juga Bahasa Kebangsaan kita,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun DBP ke-63 di Wisma DBP baru-baru ini. 

Jelas Maszlee di negara membangun lain, sasterawan merupakan individu yang begitu dijulang dan diangkat namanya disebabkan jasa mereka memartabatkan bahasa. 

Beliau turut menyeru universiti awam yang melantik sasterawan negara sebagai sasterawan tamu mereka untuk diberikan elaun bulanan sebagai penghargaan.