Judith Krantz, novelis yang mempesona jutaan pembaca telah meninggal dunia pada 22 Jun lalu. Meskipun hanya menulis 10 buah novel di sepanjang hayatnya, jualan novelnya mencapai 80 juta naskhah. Punca kematian wanita berusia 91 tahun adalah kerana sakit tua.

Judith Krantz ~ foto USA Today
Judith Krantz ~ foto USA Today

Judith mula terkenal dengan novelnya Scruples yang terbit pada tahun 1978. Jualannya mencapai ke 5 juta naskhah dalam masa dua tahun.

Yang menariknya, Scruples terbit ketika Judith berusia 50 tahun. Menurutnya, novel itu terbit daripada kesunyian apabila anak-anaknya melanjutkan pelajaran. Suaminya Steve yang menggesanya menulis.

Scruples, novel yang terjual 5 juta naskhah dalam masa dua tahun ~ foto amazon

Pada awalnya, Judith tidak berani menulis novel kerana hanya mendapat B di dalam subjek penulisan kreatif di kolej. Namun, apabila suaminya membeli sebuah kapalterbang kecil mengajaknya naik bersama, Judith belajar untuk mengatasi rasa takutnya.

Dengan keberanian baharu itu, beliau mula cuba menulis novelnya yang pertama.  Scruples disudahkan dalam masa sembilan bulan.

Meskipun beliau hanya dibayar hanya USD50,000 untuk novel itu, buku-bukunya setelah itu kian mendapat sambutan hingga pendapatannya mencecah jutaan dolar. 10 novelnya terjual lebih 80 juta naskhah dan diterjemah ke dalam 50 bahasa.

Siri televisyen Scruples, lakonan Lindsay Wagner dan Barry Bostwick ~ foto youtube

Scruples ditolak oleh penerbit Simon & Schuster, kerana dikatakan punyai terlalu banyak watak dan plot. Tetapi The Crown Publishing Group menyambar novel itu dengan bayaran USD50,000 sahaja. Tetapi syarikat itu terus membayar USD400,000 untuk novel kedua Judith iaitu Princess Daisy.

Pada tahun 1980, Scruples muncul sebagai siri televisyen. Siri itu diterbitkan oleh Steve Krantz, suami Judith dan menjadi di antara siri yang popular.

Judith lahir pada tahun 1928 di bandaraya New York. Ayahnya adalah seorang eksekutif pengiklanan sementara ibunya adalah seorang peguam.

Judith dan suaminya Steve ~ foto  peoplemagazine

Pada usia 16 tahun, beliau memasuki Wellesley College. Di sana beliau hanya memperoleh A dalam bahasa Inggeris, B dalam penulisan dan C dalam lain-lain subjek.

Meskipun pensyarahnya menyukai karyanya, beliau tidak mahu memberi Judith markah A kerana beliau lemah dalam ejaan. Setelah tamat pengajian, beliau menjadi wartawan majalah Good Houeskeeping sebelum menjadi editor fesyen.

Pada tahun 1953, beliau menemui Steve Krantz seorang penerbit rancangan televisyen. Mereka berkahwin setahun kemudian. Suaminyalah yang menggalakkan beliau menulis.

Apa yang menariknya, di sebalik kehebatan karya-karyanya, Judith Krantz hanya menulis 10 buah novel di mana novel terakhirnya iaitu The Jewels of Tess Kent ditulis pada tahun 1998.

10 novel Judith Krantz yang kesemuanya meletup ~ foto pinterest

Enam karya awalnya menjadi siri televisyen. Scruples (1978), Princess Daisy (1980), Mistral’s Daughter (1982), I’ll Take Manhattan (1986), Till We Meet Again (1988) dan Dazzle (1990).

Empat novel berikutnya adalah Scruples Two (1992), Lovers (1994), Spring Collection (1996) dan The Jewels of Tessa Kent (1998)