Site icon LayarMinda

Buku Cetak Mesrakan Hubungan Ibubapa – Anak

SUDAH menjadi amalan, ibubapa yang menyampaikan bedtime stories untuk anak-anak kecil mereka. Kini ibubapa punyai pilihan samada menggunakan buku ataupun tablet. Namun, baru-baru ini, kajian menunjukkan kanak-kanak lebih gemarkan buku berbanding dengan tablet.

Membacakan buku cerita kepada anak merangsang pertuturan ~ foto babble

Menurut Gregory P.Weaver, M.D., dari Cleveland Children Clinic, para penyelidik mendapati bahawa lebih banyak interaksi akan terjadi apabila ibubapa menggunakan buku untuk bercerita dengan anak-anak mereka.

Para ibubapa pula lebih banyak bersoal jawab dengan si anak berbanding jika mereka menggunakan tablet. Apabila ibubapa menggunakan tablet, apa yang dibincangkan lebih banyak mengenai bagaimana menggunakan tablet itu dan bukannya mengenai cerita di dalam buku itu.

Bercerita dengan anak menggunakan tablet kurang beri kesan interaksi ~ foto shutterstock

Menurut Dr. Weaver, membacakan buku kepada anak-anak adalah di antara cara yang terbaik untuk mengajar kemahiran bahasa. Tambahan pula, anak-anak dapat mengajuk ibubapa mereka cara menyebut dan mengatur ayat.

Katanya lagi, kanak-kanak belajar melalui penggabungan konsep. Apabila menggunakan buku, ia memberi peluang untuk berdiskusi secara bertimbal-balik yang mana inilah proses belajar sebenarnya.

Kajian dari University of Michigan, C.S Mott Children’s Hospital juga mendapati interaksi di antara ibubapa dan anak mereka lebih kerap berlaku sekiranya mereka menggunakan buku berbanding tablet.

Menurut  Tiffany Munzer, M.D., “Kami mendapati apabila ibubapa dan anak mereka membaca buku bercetak, mereka lebih kerap berbual dan kualiti interaksi mereka menjadi lebih baik.”

Tiffany Munzer M.D, University of Michigan ~ foto AAP gateway

Pasukan penyelidik mengkaji tabiat itu daripada 37 pasang ibubapa dan anak-anak mereka di antara 1-2 tahun di sebuah makmal yang direkabentuk seperti ruang tamu di rumah. Setiap ibubapa membaca buku melalui tiga format iaitu buku bercetak, buku yang mempunyai asas elektronik dan buku yang mempunyai kesan bunyi.

Ibubapa yang membaca dari buku bercetak lebih banyak bertanya kepada anak-anak berbanding dengan buku-buku yang dilengkapi peralatan elektronik. Alat-alat elektronik itu menjadikan ibubapa malas berbual dengan anak-anak mereka.

Nampaknya buku cetak lebih menarik sebagai cara mengajar anak bercakap dan memahami pelbagai konsep. Bedtime stories adalah budaya di barat. Namun di negara kita, apakah budaya bercerita melalui bedtime stories ini menjadi amalan ibubapa kepada anak-anak mereka?

PAUTAN ASAL: https://pediatrics.aappublications.org/content/143/4/e20182012https://www.aappublications.org/news/2019/03/25/electronicbooks032519?utm_source=TrendMD&utm_medium=TrendMD&utm_campaign=AAPNews_TrendMD_0

Exit mobile version