MEMBACA novel itu adalah sebuah perjalanan. Malah, sesebuah novel itu sendiri adalah sebuah perjalanan yang panjang. Kalau kita membaca sesebuah novel dari pagi hingga ke malam, masa yang digunakan itu umpama waktu sesebuah perjalanan yang jauh.

2. Seseorang novelis itu pula umpama seorang pemandu. Kita yang membaca novelnya itu umpama penumpangnya. Dalam sebuah perjalanan yang panjang, si novelis membawa kita melalui lebuhraya yang lurus dan lancar dengan pemandangan di sekeliling yang indah.

3. Ada waktunya si novelis membawa kita melalui jalan sempit, penuh dengan becak, berlubang di sana-sini dan tidak rata. Ada juga ketikanya novelis membawa kita mendaki bukit dengan begitu perlahan, tetapi kemudian menuruninya dengan laju hingga kita berasa seperti nak putus nafas!

4. Walaupun begitu, si novelis perlu memastikan kita tidak pening kepala, loya dan muntah. Yang lebih mustahak, kita tidak menuruni kenderaan langsung meninggalkan perjalanan yang penuh berliku itu.

5. Cabaran bagi novelis ialah bagaimana kita berasa seronok sebaik sahaja menamatkan perjalanan penuh mencabar itu dan tidak ragu-ragu untuk mengulangi perjalanan itu buat kali kedua dan seterusnya.

6. Bagaimanakah seseorang novelis itu menjadi pemandu yang baik? Dia mestilah pandai mengendalikan kenderaannya sehingga kita sebagai pembaca atau penumpangnya yakin yang kita akan selamat mengharungi perjalanan kerana yakin dengan novelis yang mengendalikan perjalanan.

7. Bagaimanakah cara novelis hendak menimbulkan rasa yakin kita terhadap karyanya? Dia mesti faham apa yang dinamakan sebagai ‘pacing.’ Pacing adalah imbuhan dari kata dasar ‘pace’ yang bermaksud ‘kadar pergerakan.’ Dalam konteks penulisan, kadar pergerakan apa? Jawapannya, kadar pergerakan yang menentukan momentum pembacaan.

8. Mengapa pacing ini penting? Ia mustahak kerana pacing novelis yang baik mampu menggenggam perasaan kita agar terus membaca karyanya. Seperti juga dalam sesebuah perjalanan yang membosankan, novelis perlu pandai menyusun ayat agar kita tetap ingin meneruskan pembacaan meskipun bahagian yang dibaca itu mula menimbulkan kebosanan.

9. Sepertimana menaiki sebuah bukit dengan perlahan, novelis perlu hadiahkan keseronokan menuruni bukit dengan laju kepada kita kerana sanggup melayani perenggan-perenggan yang membosankan. 

10. Bagaimana cara novelis mengawal kadar pergerakan pembacaan? Sebenarnya ada teknik yang digunakan novelis untuk memainkan perasaan kita sebagai pembacanya. Ada teknik bagaimana menjadikan pembaca releks dan santai. Ada teknik macam mana supaya pembaca membaca dengan laju hingga dia berasa tak boleh berhenti.

Hendak tahu tak? Kita sambung nanti.


APA KOMEN ANDA?

LAYARMINDA memaparkan berita dunia buku dan penulisan di dalam dan luar negara. Apakah artikel di atas ini menarik minat anda ataupun sebaliknya? Sila turunkan komen di petak yang disediakan untuk membantu kami memilih artikel-artikel yang terbaik buat anda.
Terima kasih daripada kami.