Site icon LayarMinda

Menjadi Bijak dengan Menulis

SEBELUM internet menjadi popular  sekitar 25 tahun yang lalu, peluang untuk kita menulis kian berkurang apabila menamatkan alam persekolahan atau pengajian. Tabiat menulis diari di dalam buku khas ataupun menulis puisi di cebisan-cebisan kertas mula ditinggalkan. 

2. Dalam dunia pekerjaan pula, menulis surat rasmi, minit mesyuarat atau laporan, tidak mengasah bakat penulisan kita sepenuhnya kerana apa yang ditulis adalah sesuatu yang formal. Kesibukannya di pejabat mahupun kilang menjadikan kita menghibur diri bersendirian secara pasif seperti menonton dan membaca.

3. Jika pun berekreasi secara berkumpulan, mungkin sekali kita akan lakukan dengan cara bersukan, berkelah, menari atau melancong. Aktiviti menulis secara kreatif sebagai salah satu cara berekreasi semakin dikesampingkan. 

4. Kemunculan internet bukan sahaja membolehkan kita membaca apa sahaja yang diingini. Malah, ramai di antara kita yang dapat kembali peluang mengasah bakat menulis.

5. Jika pada mulanya tidak ramai yang mampu menulis panjang-panjang kerana jurnal atau blog, lazimnya memerlukan sekurang-kurangnya 250 hingga 300 perkataan; kini, kemunculan laman sosial seperti  Instagram Facebook dan Twitter membolehkan sesiapa sahaja menulis dan melahirkan fikiran dengan ayat-ayat yang pendek.

6. Tetapi ada satu cabaran awal bila kita ingin menulis. Cabaran itu ialah bagaimanakah kita mengkoordinasi aliran pemikiran yang laju dengan kemampuan menaip kita yang perlahan.

7. Ada ketikanya, sesebuah idea yang hendak ditulis itu sudah ada, tetapi kita kurang kemahiran menaip menjadikan idea itu terbang entah ke mana bila jejari kerap terperlus di celah-celah kekunci.

8. Cabaran awal ini boleh diatasi dengan mengempang sesebuah idea itu agar ia mengalir sedikit demi sedikit mengikut kemampuan kita menaip. Pengempangan idea itu bukan sahaja membolehkan kita mengkoordinasi idea ke jejari dan terpapar ke skrin, malah cara ini membolehkan kita mengatur dahulu apa yang hendak ditulis dengan mengimaginasikan susunannya di kotak fikiran. 

9. Hasilnya, menulis itu membolehkan seseorang mempunyai fikiran yang tersusun dan terarah. Pemikiran yang tersusun dan terarah ini amat penting di zaman yang serba pantas ini.

10. Apabila perubahan dunia dan teknologinya semakin laju dan kepelbagaian pilihan bisa mengundang risiko kesilapan, kemahiran menulis sebenarnya dapat mengurus fikiran agar sesuatu tulisan yang dibuat itu holistik, jitu dan tepat.

11. Lihatlah perbezaan pemikiran para ilmuan, cendekiawan dan teknokrat yang boleh menulis atau sebaliknya. Mereka yang berkebolehan menulis akan mempamer karektor yang berwibawa.

12. Fikirannya kritis, pandangannya jauh dan kehadirannya menzahirkan aura mereka yang di sekelilingnya. Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir adalah di antara mereka mempamerkan pemikiran yang tajam dan jauh kerana berkemahiran menulis. 

13. Sebaliknya, mereka yang hanya mahir bertutur tanpa berkemahiran menulis kerapkali mengulang perkara yang serupa, memanjangkan idea orang lain atau bertutur secara retorik semata-mata. Pendek kata, banyak kuah daripada isi dalam tutur katanya.

14. Cubalah menulis lebih panjang daripada biasa. Dari sepotong ayat menjadi satu para, daripada satu para kepada lima para dan seterusnya. Cuba juga menulis apa yang orang lain ingin baca, tidak kira pengalaman atau kejadian yang berlaku, asalkan daripada sudut pandang kita sendiri.

15. Mulalah dengan meninggalkan ayat-ayat klise atau cerita-cerita yang sudah ramai sangat orang lain tuliskan seperti apa yang kita makan atau di mana kita berada. Jika pun ingin memaparkan tulisan orang lain dengan cara cut and paste mahupun share, biarlah ia disertai dengan ulasan kita mengenai apa yang kita paparkan.

16. Kita patut mengelak daripada menulis sesuatu yang kita tidak tahu seperti memberi komen terhadap seseorang terutamanya jika kita tidak pernah menemui orang yang kita komen itu.

17. Bagaimana kita memberi komen terhadap seseorang yang kita tidak kenal? Kita juga tidak adil kepada diri seandainya memberi ulasan mengenai sesuatu kejadian padahal kita tidak berada di situ. 

18. Yang penting, kita mesti tahu apa yang kita lakukan. Bawah sedar kita akan mengisyaratkan ke hati kita sendiri sama ada apa yang ditulis itu baik atau buruk. Jika tulisan itu baik, hari kita akan senang. Andai sebaliknya perasaan resah akan mengganggu setelah menulis sesuatu yang tidak bagus untuk tatapan orang lain. 

Exit mobile version