Norra Hassan bersama dengan para peminatnya.
Norra Hassan bersama dengan para peminatnya.

EKSKLUSIF BERSAMA NORRA HASSAN:

NORRA HASSAN (Facebook | Instagram) adalah di antara novelis yang prolifik. Setelah menulis Bila Hati Berahsia,  Pengantin Lelaki Untuk Aku, Melati Untuk Gabriel, Kita Suka Sama Suka dan Engkau Lebih Mengerti, kini Norra menghadiahkan Berikan Aku Sebutir Bintang untuk para peminatnya.

Novel yang berbeza daripada novel-novelnya sebelum ini ternyata memberikan kepuasan kepada beliau. Kita ikuti e-temubual dengan Norra Hassan…

Boleh perkenalkan diri Norra?

Saya merupakan anak kelahiran Negeri Jelapang Padi. Sekarang ini menetap dan bekerja di Kuala Lumpur. Nama  Norra Hassan ini sebenarnya singkatan daripada nama penuh saya. Ia mula digunakan untuk novel Bila Hati Berahsia diterbitkan pada tahun 2014. Tuntutan kerja dan beberapa faktor lain membuatkan saya menyepikan seketika sebelum kembali menulis dengan aktif.

Justeru semasa membuat kemunculan semula, saya memilih nama Norra Hassan yang lebih ringkas dan mudah disebut berbanding nama sebelum ini. Dari satu sudut, nama Norra Hassan ini umpama penjenaman semula diri.

Apa yang jadi pencetus kepada novel Berikan Aku Sebutir Bintang?

Selepas menyiapkan manuskrip Engkau Lebih Mengerti, saya mencari idea untuk manuskrip seterusnya. Selalunya Facebook antara tempat saya mencari idea. Saya terbaca sebuah status di Facebook yang memperkatakan tentang novel yang klise kerana mempunyai jalan cerita yang hampir sama ~ iaitu kisah watak lelaki dan perempuan yang terikat dalam perkahwinan tanpa cinta.

Ia mengingatkan saya kepada sebuah novel saya sebelum ini yang begitu.

Berikan Aku Sebutir Bintang - karya Norra Hassan
Berikan Aku Sebutir Bintang – karya Norra Hassan

Jadi, ini membawa kepada satu cabaran ~ bagaimana hendak menjadikan cerita ini berbeza dengan cerita terdahulu? Tidak perlu kelainan yang terlalu besar, tetapi sesuatu yang di luar jangkaan supaya kelainan itu menjadi kekuatan sebenar karya ini. Mencari jawapan kepada pertanyaan dan cabaran ini membuatkan idea dan kandungan cerita mula berkembang.

Secara mudahnya, idea atau kisah ini mungkin klise buat pembaca baharu tetapi digarap daripada perspektif yang berbeza.   

Apa yang Norra suka mengenai novel ini?

Watak dan konflik yang mereka hadapi.

Watak-watak bukan setakat menghadapi konflik persekitaran tetapi juga berhadapan dengan konflik dalam diri atau sesama mereka. Pertembungan atau perbezaan perwatakan, latar belakang dan usia menjadi halangan yang menutup peluang untuk saling mengenali satu sama lain.

Semasa mula merangka jalan cerita novel ini, saya mahukan sebuah fairy tale love. Watak heroin yang memerlukan seorang hero untuk menyelamatkannya. Selepas diteliti semula, kisah fairy tale yang memaparkan lelaki sebagai penyelamat dan wanita yang pasif menunggu diselamatkan bagaikan tidak kena apabila saya mahu bercerita tentang watak seorang wanita yang boleh merancang haluan hidupnya tanpa dipengaruhi sesiapa.

Untuk sebuah watak boleh membuat keputusan yang drastik, nekad dan tegas dengan kemahuannya, watak heroin yang berperwatakan pasif adalah tidak sesuai.

Jadi, watak heroin; Adhara diberikan latar belakang yang membolehkan dia tampil sebagai wanita yang dominan ~ berpendidikan, bekerjaya dan dari keluarga yang stabil. Manakala Altair datang daripada latar belakang yang berbeza dengan Adhara. Watak hero yang masih mencari haluan dan dalam proses membina kematangan. Perbezaan ini memberikan kelebihan kepada Adhara untuk membuat keputusan dan Altair terpaksa akur walaupun dia tidak suka.

Situasi kemudian menjadi berbeza apabila Altair membangunkan dirinya dan boleh meletakkan dirinya pada kedudukan yang sama dengan Adhara. Pembaca boleh melihat perubahan Altair setelah mereka bertemu kembali. Adhara kini terpaksa melayan Altair on equal footing. Adhara sudah tidak boleh membuli Altair lagi.  

Nama watak… beberapa novel sebelum ini menggunakan nama bunga bagi watak heroin. Untuk novel ini, saya terfikir hendak mencari nama yang ada kelainan tetapi menjadi identiti setiap watak. Nama yang mewakili perjalanan hidup watak dalam membina kekuatan masing-masing selepas apa yang berlaku.

Apakah ada mana-mana adegan dalam novel ini yang menyentuh emosi Norra?

Adegan atau bahagian Altair dan Adhara berdiri dalam hujan di tepi tali air di mana Altair ada rasa atau instinct untuk menarik Adhara ke dalam pelukannya tetapi dia memilih untuk tidak melakukannya. Ada rasa ingin melindungi tetapi terhalang apabila dia sedar Adhara tidak memerlukan perlindungan. Walaupun nampak seperti ego, hero secara langsung mengakui kekuatan heroin.

Bagaimana anda menulis novel ini?

Menurut turutan dari bab satu hingga akhir atau bagaimana?

Saya selesa menulis mengikut urutan iaitu daripada bab 1 sehingga akhir, tetapi tidak begitu terikat dengan urutan ini. Selalunya saya akan menyediakan aliran cerita dari awal hingga akhir yang disusun ke dalam bab. Setiap bab pula ada sinopsis ringkas. Jika tersangkut di bab yang sedang ditulis, saya akan bergerak ke bab lain atau tiba-tiba mendapat idea untuk bab lain walaupun satu perenggan, saya akan memfokuskan kepada apa yang terlintas di fikiran.

Dari 1-5 bintang, berapa bintang Norra berikan pada novel ini?

4.5 bintang.

Beritahu sebab apa Norra beri 4.5 bintang?

Berikan Aku Sebutir Bintang memfokuskan kepada konflik hubungan iaitu membina cinta baharu atau mempertahankan cinta lama yang kembali, sedangkan ada beberapa boleh diperincikan juga ~ mengenai komitmen suami isteri dalam mempertahankan sebuah institusi perkahwinan yang didirikan secara sah walaupun tanpa rasa cinta pada mulanya.

Cuma, saya juga peka atau sedar yang Berikan Aku Sebutir Bintang akan menjadi terlalu padat dengan pelbagai topik sehingga hilang fokus jika semua perkara hendak diperincikan.

Sebagai tambahan, saya meminta kepada editor untuk membuat penambahbaikan pada karya ini sebelum diterbitkan selepas membaca teguran Mufti Wilayah Persekutuan terhadap tajuk atau kandungan sesebuah karya yang berkaitan dengan isu perkahwinan dan rumahtangga. Ini bagi memastikan apa yang dihasilkan tidak memberikan implikasi tertentu selepas diterbitkan.

Apa harapan Norra dengan novel ini?

Novel yang boleh memberikan inspirasi dan menjadi aspirasi buat pembaca, serta diterima oleh pembaca di sebalik kelemahan yang ada. Secara mudah, saya berharap novel meninggalkan impak tersendiri kepada pembaca.

Sekarang sedang buat novel berikut? Boleh cerita sikit?

Ada sebuah manuskrip yang sudah selesai dan diserahkan kepada penerbit. Bagi pembaca yang pernah membaca novel Kita Suka Sama Suka, mereka akan perasan akan kehadiran watak sampingan yang bernama Shou. Kali ini, Shou menjadi hero untuk novel ini di mana dia diupah untuk menjauhkan seorang gadis daripada seorang lelaki. Konon menjadi kekasih olok-olok sehingga lelaki itu berkahwin dengan perempuan yang mengupah Shou.

Dia rasa ini adalah kerja yang mudah, sekadar jadi buaya darat untuk memikat sebelum menyedari ini adalah tugas yang paling memeningkan kepala dia. Asalnya saya mahu novel ini menjadi komedi-romantik tetapi akhirnya berubah sedikit daripada rancangan asal.

Sekarang ini, ada idea baharu yang diinspirasikan daripada sebuah kisah yang berlaku kepada seseorang yang saya kenali. Masih dalam proses cuba membangunkan dan memurnikan idea ini bagi menjaga sensitiviti sesetengah pihak.