Cerapan gerhana (foto hiasan – mediaindonesia)

DIA sendiri tidak percaya apabila memenangi tempat kedua pertandingan cerpen astronomi anjuran International Astronomy Union (IAU) sempena ulangtahun ke-100nya. Nurul Husna Mohammad Bokhari, 24, anak kelahiran Kuala Lumpur mencuba nasib menyertai pertandingan itu dengan karyanya yang berjudul, “Two Minutes of Amazement.”I

Khalayak ramai yang menyaksikan gerhana matahari di Jakabaring, Palembang – foto theocassionaltraveller

Cerpen yang merakam emosi takjubnya tatkala mencerap gerhana penuh matahari di Tasik Jakabaring, Palembang, Indonesia pada tahun 2016 telah memikat hati para juri untuk memilihnya sebagai pemenang tempat kedua pertandingan itu. Di antara hadiah kemenangan, Nurul Husna diberi peluang untuk  membacakan cerpennya di IAU Symposium, Cambridge, United Kingdom.

Nurul Husna, lulusan Sarjana Muda Syariah dalam bidang Astronomi Islam di Universiti Malaya kini sedang melanjutkan pelajarannya di peringkat Sarjana Astronomi & Astrofizik, Universiti Leuven, Belgium.

Melalui Dr. Raihana Abdul Wahab yang pernah menjadi pensyarahnya di Universiti Malaya, Layarminda dapat menghubungi Nurul Husna. Berikut adalah e-temubual kami dengan beliau:

Persidangan International Astronomical Union – foto IAU

Dari mana saudari tahu mengenai peraduan cerpen ini?

Saya tahu melalui laman sesawang rasmi International Astronomical Union (IAU). Peraduan ini diadakan khas sempena sambutan ulangtahun ke 100 pertubuhan itu.

Saya sebelum ini juga memang sentiasa mengintai peluang untuk terlibat dengan pertubuhan antarabangsa ini kerana ianya berkait dengan minat saya iaitu astronomi.

Ada dapat apa-apa peluang selain daripada menyertai peraduan cerpen ini?

Ya, mendapat separa tajaan untuk membentangkan poster kajian saya di Jepun sempena Communicating Astronomy with Public 2018 (CAP Conference 2018) dan juga menyumbang tenaga sebagai sukarelawan penterjemah bahan-bahan penulisan IAU dari Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu.

Mencerap gerhana matahari di Jakabaring, Palembang – foto Astronomi Islam Universiti Malaya

Mengapa momen gerhana begitu berkesan bagi saudari hingga memilih momen itu untuk ditulis?

Saya berasakan fenomena gerhana matahari penuh ini sangat istimewa kerana ianya hanya berlaku pada waktu dan tempat tertentu sahaja. Ianya bertambah terkesan apabila, saya dan pasukan menjejak gerhana Universiti Malaya membuat persiapan hampir lebih setahun untuk peristiwa ini.

Di mana dan bila cerapan gerhana yang saudari rakam di dalam cerpen itu?

Gerhana Matahari Penuh tersebut berlaku pada Mac 2016 di Palembang, Indonesia. Pelbagai cabaran dan persiapan yang dilalui untuk kami pastikan tidak melepaskan peluang keemasan ini, memandangkan gerhana matahari penuh ini paling dekat berlaku dengan Malaysia.

Sejak bila saudari meminati bidang astronomi ini?

Sejak saya berumur 10 tahun, saya punyai sifat ingin tahu yang tinggi terutama pada nature and space, secara tidak langsung menjurus minat saya pada astronomi.  Ayah sayalah yang banyak memberi dorongan dan sokongan untuk saya terus mendalami ilmu ini.

Bagaimana pula dengan impian kerjaya saudari?

Saya ingin jadi pakar dalam bidang astronomi dan bantu membangun, menyebar dan memajukan ilmu astronomi di Malaysia, sekaligus mencambahkan minat astronomi kepada generasi muda.

Bagaimana saudari mahu galakkan rakyat Malaysia menyintai astronomi?

Astronomi ini sebenarnya sangat dekat dengan kita. Mudah saja, galakkan rakyat Malaysia dengan hanya memandang dan memerhati langit. Dengan memandang ke langit kita boleh jatuh cinta dengan astronomi dan sekaligus mengagumi kehebatan ciptaan Allah ini. 

Apakah portal-portal astronomi yang saudari kerap layari?

IAU (https://www.iau.org/), NASA (https://www.nasa.gov/), ESA (https://www.esa.int/ESA), falakonline dan facebook page antarabangsa dan tempatan berkaitan astronomi menjadi pilihan saya

*Pautan untuk menatap artikel kemenangan Nurul Husna terdapat di pautan ini:
https://www.iau-100.org/winning-short-stories

Nurul Husna bersama Presiden IAU Ewine Fleur van Dishoeck – foto Nurul Husna