Site icon LayarMinda

Banyakkan Santapan Ruh bukan Santapan Perut

Puasa adalah tempoh untuk berubah ~ kembali kepada fitrah. Salah satu faktor untuk berubah ialah dengan mengubah suasana persekitaran. ALLAH SWT telah menyediakan Ramadan dengan set-up lengkap yang mampu mengubah fizikal, mental dan spiritual kita. Fizikal kita dikawal dengan larangan makan minum pada waktu siang, mental kita diperkuatkan dengan insentif bonus pahala dan subsidi pengampunan. Spiritual kita pula dibantu untuk hidup aktif dengan terbelenggunya syaitan. 

Pola makan minum sebagai makanan fizikal kita berubah di bulan ini. Sahur menggantikan sarapan, berbuka mengganti makan tengahari dan moreh menggantikan makan malam. Waktu sahur itu dua jam sebelum waktu sarapan, berbuka pula lebihkurang lima jam lewat daripada waktu makan tengahari dan moreh itu pula dua jam lewat dari waktu makan malam. Larangan makan pada siang hari itu sendiri sudah mengubah pola tabiat harian. 

Bila tidak mengingati untuk makan, maka kita tidak berasa lapar. Tiadanya sarapan dan makan tengahari, membolehkan kita mengguna masa itu untuk membaca al-Quran. Solat sunat terawih itu sendiri adalah latih tubi untuk meningkatkan kebiasaan untuk selesa di tikar sejadah. Tidur kita diawalkan agar dapat bangun bersahur dan kesempatan untuk berqiamulail.

“Apabila masuk sahaja Ramadan, maka pintu-pintu syurga pun dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Hadis riwayat al-Bukhari) Bila syaitan dibelenggu pada bulan ini, nafsu kita lebih mudah dikawal. Nafsu itulah yang mengawal minda kita untuk melakukan yang sia-sia. “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(Yusuf, 53)

Jika pada bulan puasa pun, kita tidak mengurangkan perkara-perkara yang membuat kita lalai seperti mendengar muzik, menyanyi, menonton wayang, tidak mengawal waktu melayari internet atau berbual kosong; kita hanya berpuasa dari segi fizikal, tetapi bukan daripada segi mental. 

“Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha dan tidak bercakap perkataan yang keji.” (Hr Hakim, Ibnu Hibban & Baihaqi)

Andainya kita dapat berpuasa fizikal iaitu mengawal makan dan minum, berpuasa mental dengan mengawal nafsu yang mengajak kita melakukan perkara-perkara yang membuang masa, puasa spiritual pula sebaliknya. Jika makanan fizikal dan mental kita dikawal, makanan untuk spiritual atau roh pula dijamu sebanyak-banyaknya pada bulan ini. Membaca al-Quran, berzikir, bersolat terawih dan solat malam adalah makanan untuk menghidup dan mengaktifkan roh yang pada bulan-bulan lain kita ketepikan.

Apabila ajal kita tiba, yang keluar dari tubuh dan terbang kembali ke alamnya ialah roh. Yang tinggal hanyalah jasad daripada tanah. Ia hilang bersama nafsu. Puasa menghidupkan roh. Jika selama ini hubungan roh dengan tali ALLAH SWT itu terhijab dengan kekuasaan nafsu yang sentiasa diberi makan apabila kita sentiasa melayaninya, puasa itu menghidupkan roh dan membebaskan ia untuk mudah kembali kepada Yang Maha Pencipta.

Wallahua’lam.

Exit mobile version