Quebec City, adalah bandaraya kedua di Kanada yang mempunyai ramai penduduk selepas Ontario. Sebahagian besar daripada wargakota di sini bertutur dalam bahasa Perancis. Quebec City juga adalah kota buku dan sebuah bandaraya sastera dalam ertikata yang sebenarnya.

Ia merupakan bandar yang ke-27, UNESCO City of Literature. Setiap tahun, bandaraya ini meraikan sehingga 8 acara kesusasteraan tahunan termasuk Salon Internationale du Livre de Québec (SILQ) atau Pesta Buku Antarabangsa Québec yang melabuhkan tirainya hari ini (14 April).

Selain SILQ, acara seni sastera lain yang dianjurkannya adalah Pesta Persuratan Quebec, Bulan Puisi, Pesta Komik Perancis serta Pesta Seni dan Sastera; ImagiNation. Sastera begitu berakar di Quebec City kerana ia mempunyai sejarah yang panjang.

Persatuan Sastera dan Sejarah Québec sahaja telah diasaskan sejak 1824, dan merupakan antara pertubuhan tertua di Canada! Bandarayanya itu kaya dengan kepelbagaian sejarah dan budaya – Perancis, Inggeris dan Orang Asal. Québec City juga turut terkenal sebagai UNESCO World Heritage Site sejak 1985.

Oleh kerana seni dan sastera bernafas di bandaraya ini, tidak hairanlah bila lebih 200 orang penulis memilih untuk bermastautin di sini. Malah, ia juga adalah bandaraya industri buku kerana lebih 100 organisasi, penerbit dan kedai buku beroperasi dari sini.

Di Québec City sahaja ada 20 syarikat penerbitan dalam pelbagai bidang. 25 perpustakaan percuma terdapat di sini. Ini memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam hal kesusasteraan di sana!

Québec City dihuni 530,000 orang penduduk dan bersaiz 484.1 kilometer persegi, besar sedikit dari Pulau Langkawi. Walau begitu, ekosistem kesusasteraannya cukup mengagumkan. Barangkali tiada bandaraya lain di dunia yang bernafas dengan seni dan sasteranya.

Andainya ada di kalangan penulis di Malaysia yang ingin merasai dunia buku dan sastera, silalah datang ke Québec City.

piccredit: magazineportrait.com