SOROTAN novel pertama di Layar Minda ialah novel The Weight of Our Sky karya Hanna Alkaf. Nama ini belum dikenali di kalangan peminat novel Melayu.
Tetapi Hanna Alkaf sudah melangkah jauh apabila novelnya diterbitkan oleh Salaam Reads, jenama buku remaja Muslim di bawah naungan Simon & Schuster, New York.
Hanna mencari jalur pengkaryaan dan penerbitannya secara sendiri di luar negara. Berbekalkan pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kewartawanan dan komunikasi, karyanya mengetengahkan watak Melati yang menghidap Obsessive Compulsive Disorder dengan latar peristiwa tragedi hitam 13 Mei 1969.
Kemahirannya dalam bidang komunikasi membolehkan Hanna menyentuh persoalan yang berat secara bersahaja hingga kita dapat menikmati novel The Weight of Our Sky secara santai.
Sinopsis
SEORANG peminat muzik yang menghidap OCD cuba melakukan apa sahaja untuk kembali kepada ibunya semasa rusuhan kaum bersejarah tahun 1969. Kisah yang berlatarkan Kuala Lumpur itu dipaparkan dalam debut sastera yang mendebarkan.
Watak utamanya, Melati Ahmad sama seperti remaja lain yang meminati filem dan The Beatles. Namun, tidak seperti kebanyakan remaja berusia enam belas tahun yang lain, Mel percaya bahawa terdapat seekor jin dalam dirinya.
Jin ini mengganggunya dengan imej-imej yang ngeri berkaitan kematian ibunya. Jin itu dikatakan hanya akan berhenti mengganggu jika Melati menurut dengan melakukan ritual tertentu.
Tetapi Melati bukan selamanya dapat melindungi ibunya. Pada petang 13 Mei 1969, ketegangan kaum di bandar Kuala Lumpur meletus. Orang Cina dan Melayu bersengketa. Mel dan ibunya terpisah di tengah-tengah sebuah kota yang terbakar.
Perintah berkurung 24 jam menjejaskan semua sistem komunikasi. Pada saat itulah muncul seorang budak lelaki Cina bernama Vincent menghulurkan bantuan kepada Melati. Perlahan-lahan Melati melawan prasangka dan menghentikan kuasa jin dalam dirinya hingga dapat kembali ke pangkuan satu-satunya insan yang dia sayangi.
Tentang Hanna Alkaf
Hanna Alkaf merupakan graduan dalam jurusan kewartawanan dari Northwestern University. Karya beliau telah muncul dalam Shape, Esquire, dan Marie Claire. Dia kini tinggal di Kuala Lumpur bersama keluarga. The Weight of Our Sky adalah novel pertamanya.