1. Ada tiga ciri yang saya jadikan ukuran samada seseorang itu punyai kebolehan dalam dunia penulisan. Pertama, kebolehan menulis. Kedua, kemahiran mengarang. Ketiga, kepandaian bercerita.

2. Hampir semua orang boleh menulis. Kanak-kanak yang memegang pensil dan pandai mengeja pun boleh menulis. Para pelajar sekolah rendah atau menengah, malah mereka yang belajar di universiti pun boleh menulis. Bagaimana pun, ramai di antara mereka yang boleh menulis itu belum tentu lagi punyai kepandaian mengarang.

3. Kalau pun boleh mengarang, karangan mereka itu pula belum tentu mampu menarik hati mereka yang menatapnya. Ramai yang mengarang artikel, laporan, tesis apatah lagi karya kreatif seperti puisi, cerpen dan novel itu belum boleh mengarang dengan baik.

4. Apabila kita menatap karangan itu, ia dipenuhi dengan ejaan yang silap, ayat yang terputus-putus atau yang panjang-panjang hingga kita yang membacanya hampir putus nafas dibuatnya. Tulisan sebegitu bisa membuat sesiapa yang menelitinya berasa penat, bosan, mengantuk lalu tertidur.

5. Kesimpulannya, orang yang boleh menulis itu belum tentu dapat mengarang. Kerana itu, jika seseorang itu boleh menulis, dia seharusnya boleh mengarang dan akhirnya meningkatkan kebolehannya menjadi orang yang mahir bercerita.

6. Ertinya, dia perlulah meningkatkan kebolehannya pula supaya pandai menyampaikan fikirannya dengan jelas. Andainya ia tulisan yang punyai fakta dan maklumat, tulisannya jadi berisi. Lenggok bahasa akan menjadikan karyanya menarik. Dan sesiapa yang membaca tulisannya akan berasa selesa menelusuri ayat-ayatnya.

7. Kesimpulannya, seseorang yang ingin jadi seorang novelis mestilah punyai kemahiran menulis, mengarang dan bercerita. Apabila dia punyai ketiga-tiga ciri ini, maka dia sudah bersedia untuk menjadi seorang novelis.

8. Bagaimana pun, golongan yang boleh jadi novelis ini tidak ramai bilangannya jika dibandingkan jumlah akauntan, peguam, ahli matematik mahupun ahli ekonomi, yang puluhan ribu ramainya.

9. Justeru itu, apabila kita mengambil keputusan untuk menjadi seorang novelis, ketahuilah, kita adalah golongan yang rare. Sesungguhnya ia adalah anugerah ALLAH kepada kita kerana novelis adalah insan yang terpilih.