PADA Ahad lepas, saya mengunjungi gedung membeli-belah Alamanda di Putrajaya. Sudah bertahun saya tidak ke sana. Apabila tiba sekitar jam 1.00 tengahari, keadaannya agak sesak. Medan seleranya penuh, para pengunjung berbaris untuk mendapat tempat di restoran-restorannya. Saya tak nampak satu pun kedai-kedai lain seperti kedai pakaian, kasut, butik, elektrik dan ATM yang tiada berpengunjung. Hebat

Dan, apa yang amat menarik hati saya ialah, kedai buku MPH yang terletak di tingkat bawah kompleks membeli-belah itu kelihatan meriah dengan para pelanggannya. Mereka bukan semata-mata datang untuk membelek buku. Sebaliknya mereka membeli kerana kaunternya tidak putus dengan pelanggan yang berbaris untuk membayar. Siapa kata rakyat Malaysia dah tak baca buku?

Pada pertengahan bulan lepas, saya mengunjungi sebuah kedai buku di pinggir Kuala Lumpur. Malangnya, itulah hari terakhir ia beroperasi! Punca ia tutup adalah kerana pelanggan tak ramai. Dalam bersembang dengan kawan-kawan dalam industri buku dua tiga hari lalu, ada khabar yang kalau tak silap saya, tidak kurang tiga kedai koperasi buku di beberapa buah universiti awam dah tutup kerana buku tak laku!

Apabila saya pasang telinga, saya biasa terdengar kata-kata bahawa orang Malaysia dah makin malas membaca. Saya diberitahu, buku dah tak laku kerana pembaca lebih gemar berulit dengan telefon pintar masing-masing. Ataupun, buku tak laku kerana harganya mahal. Dan khabarnya, industri buku makin malap dan lembab. 

Saya pernah sentuh mengenai hal ini dua-tiga bulan yang lalu. Kesimpulan saya ialah, orang ramai akan berhenti membaca seandainya mereka di dalam industri buku sendiri menyerah kepada takdir. Para pemain dalam dunia buku sendiri mati akal hendak cari jalan merangsang para pembaca untuk kembali membaca.

Kita tidak boleh berharap kepada pemerintah untuk memulakan inisiatif dalam penggalakkan membaca. Kalau kerajaan tak buat, maka habislah industri buku. Kalau kerajaan tak tolong maka bungkus atau gulung tikarlah dunia buku Malaysia. Kalau tiada subsidi, insentif dan kempen anjuran kerajaan, maka industri buku tak akan bangkit lagi. Begitulah sikap kalau kita mengharap pada orang lain tanpa memikirkan jalan untuk hidup sendiri. Sikap begitu seperti membunuh diri, namanya.

Namun, apabila Elle Syeila, peneraju utama Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid mengirim sebuah poster melalui Whatsapp, saya begitu teruja dengan kesungguhan kelab ini bergerak aktif dalam kempen penggalakan membaca. Pada suatu hujung minggu, kelab itu bersama dengan Kelab Peminat Maria Kajiwa dan Kelab Peminat Ahmad Patria Abdullah, ketiga-tiganya kelab peminat novelis-novelis ini menganjurkan Baca@MRT.

Pada hari itu, ratusan aktivis buku akan berhimpun di dua buah stesen MRT iaitu di Kajang dan di Sungai Buluh. Dari kedua-dua arah ini, mereka akan menaiki tren dan bertemu di stesen MRT Pasar Seni. Di sepanjang perjalanan, mereka akan menyimpan telefon pintar masing-masing dan membaca buku.

Yang pasti gelagat mereka akan menarik perhatian para penumpang yang lain. Kesan mob psychology akan terjadi di mana mereka yang tidak membaca akan berasa ketinggalan kerana tidak membaca buku. Jika ada di kalangan orang ramai yang sedang membaca buku, majalah mahupun akhbar, mereka jadi bersemangat untuk membaca dalam set-up yang sedemikian. Inilah impak yang dimahukan.

Ini juga salah satu kempen membaca yang berkesan. Tidak ada majlis ucap-ucapan, nyanyi-nyanyian di pentas di dalam dewan-dewan. Sebaliknya ia adalah kempen yang dibuat secara langsung di tengah-tengah orang ramai. Mereka yang dah lama tidak membaca buku akan pulang dan mencari buku yang masih tak habis dibaca kerana rasa bersalah meninggalkan minat itu.

Barangkali, di lain waktu, mereka juga akan membawa sebuah buku apabila menggunakan perkhidmatan MRT. Akhirnya apabila ramai yang berbuat begitu, kita tak iri hati lagi pada orang Jepun yang dikatakan suka membaca di dalam tren. Lihatlah, betapa peminat buku berkorban masa, tenaga dan wang untuk menggalakkan membaca di kalangan rakyat.

Baca@MRT yang mula diadakan sejak tahun 2010 oleh Jurulatih Penulis Zamri Mohamed dan penulis Izwan Wahab nampaknya kian meningkat momentumnya. Malah pada kali ini gerakan penulis MyMove, BooksontheMove, yang mempunyai rak-rak buku di MRT, Syarikat Buku Prima dan Kelab Peminat #BukuFixi.

Baca@MRT ini hanya sekejap. Tetapi itulah yang terdaya dilakukan oleh aktivis-aktivis buku ini. Sepatutnya bukan mereka yang lebih aktif dalam kempen membaca ini sebab mereka adalah pelanggan. Mana ada kumpulan pelanggan yang sibuk berkempen untuk melariskan jualan di kedai-kedai? Mana ada pelanggan makanan segera berkempen melariskan burger? Mana ada pelanggan kedai baju berkempen untuk melariskan pakaian?

Sebaliknya pengedar buku, gedung-gedung buku dan juga penerbit yang aktif dalam kempen membaca ini sebab mereka adalah penjual buku. Kalau setakat memasang iklan di laman sesawang dan media sosial masing-masing, ia amat tidak mencukupi. Mereka harus turun padang bertemu pembaca. Barulah betul. Bukannya pelanggan yang mengiklan, tetapi penjual yang ambil peranan itu!