BARU-BARU ini saya terpandang teman sepermainan badminton membaca mesej di telefonnya. Saya nampak dia membaca sambil tergeleng-geleng. Kerana ingin tahu apa yang dikesalkannya, saya datang lalu bertanya, mengapa? Dali tersenyum dan kali ini menggeleng kepada saya pula. Barangkali kerana tidak mahu diganggu, maka saya duduk sahaja di sisi Dali sambil menonton permainan badminton rakan-rakan saya yang lain.
‘Inilah, bang,’ kata Dali seraya menyuakan telefon pintarnya kepada saya. ‘Saya baru dapat mesej Whatsapp yang kawan saya eksiden. Tapi mesej yang sampai tu hanya dua baris dengan ada gambar hospital. Tak ada mesej lain.
Lepas tu, kawan-kawan dalam grup mulalah kirim doalah, ucapan semangatlah, innalilah… macam-macam. Saya pun nak tahu juga, kawan saya yang eksiden sampai masuk hospital tu, eksiden dengan apa, di wad mana dan keadaan dia macam mana? Tapi tak ada seorang pun yang tanya keadaan kawan saya yang eksiden tu. Yang kirim berita asal pun diam tak ada kirim maklumat susulan.
Pening saya. Dia di wad mana? Boleh pergi melawat ke kalau dia kat bilik bedah atau di ICU. Dia boleh bercakap ke atau boleh makan ke? Saya ingat nak bawak jugalah epal ke, anggur ke. Kalau okey, pizza pun saya nak bawak bagi kawan saya yang sakit tu!’
Saya tersenyum lalu teringatkan pelbagai mesej yang saya terima dalam grup-grupWhatsapp saya. Selain daripada mesej mengarut dan melalut serta tak sahih yang tular, ada juga mesej-mesej betul tetapi tidak lengkap. Dan mesej-mesej ini penting sebagai maklumat kerana ada juga mesej-mesej itu yang membuat saya teringin untuk bertindak.
Saya pernah terima mesej mengenai remaja hilang. Mesej itu disertai dengan pesanan audio dari si ayah yang merayu bantuan untuk mencarikan anaknya. Sebak juga bila mendengar suara si ayah. Tetapi, selain daripada gambar anak yang disertakan, ia tidak dilengkapi dengan alamat rumah, nombor telefon untuk dihubungi dan juga bila remaja itu hilang.
Begitu juga apabila mendapat mesej memohon derma untuk dana sesebuah tahfiz baharu, misalnya. Ia hanya disertakan dengan nombor telefon dan foto-foto tahfiz dalam pembinaan. Tetapi, jumlah anggaran yang diperlukan serta yang penting tarikh mesej itu tidak disertakan untuk memacu tindakbalas semerta kita.
Banyak lagi mesej-mesej yang dipanjangkan dalam perisian Whatsapp seperti memohon bantuan doa untuk anak yang sakit kritikal, tawaran jawatan kosong, wajah seseorang yang dikatakan sebagai penipu atau video kes ragut. Mesej-mesej yang memerlukan kita bertindak sebagai insan yang ingin membantu tidak dapat kita lakukan kerana maklumat yang tidak lengkap.
Samada kita sedari atau tidak, mahu atau tidak, media sosial dan aplikasi mesej seperti Whatsapp meletakkan kita dalam kerusi seorang wartawan. Ertinya, kita memperoleh maklumat yang ada ketikanya amat penting kerana ia adalah kejadian yang benar-benar berlaku. Misalnya, kita menyaksi dan merakam kes ragut. Dalam keadaan yang cemas itu, kita hanya merakam imej kejadian itu dan terus menyebarkannya kepada kawan-kawan sehingga ia menjadi tular.
Tetapi video yang tular itu sukar dijadikan sebagai bukti kes kerana ia tidak disertakan dengan maklumat tambahan seperti tarikh, masa dan tempat kejadian. Mungkin kita yang merakam video itu tidak berani menemubual mangsa ragut itu sendiri. Tetapi kita perlu sekurang-kurangnya mengambil gambar lokasi kejadian seperti tanda nama jalanraya, bangunan yang mudah dikenali orang seperti pasaraya jika kita tidak pandai untuk membuat laporan audio.
Begitu juga apabila kita di pihak yang menerima sesebuah mesej mengenai sesuatu kejadian jenayah. Kita perlu bertanya kepada si pengirim mesej. Tetapi seandainya si pengirim itu sendiri tiada apa-apa maklumat selain daripada video yang dikirim, mesej yang kita terima itu sendiri tidak perlulah disebarkan kerana ia membuang masa orang lain pula.
Untuk itu, eloklah kita mengambil tahu asas pemberitaan melalui formula 4W + 1H yang digunakan oleh para wartawan. 4W + 1H yang juga dikelakarkan menjadi 4 wives plus 1 husband supaya mudah diingati membawa maksud What, Who, When danWhere serta How. Apa, Siapa, Bila, Di mana dan Bagaimana itu sudah melengkapi segala keperluan maklumat asas.
Maknanya, apabila mengirim mesej mengenai sesuatu perkara yang benar, ia perlu disertakan dengan maklumat Apa yang berlaku, Siapa yang terlibat, Waktu dan tarikh kejadian, Di mana ia terjadi dan Bagaimana ia berlaku. Dengan adanya maklumat asas itu, mesej itu seharusnya dihantar dahulu kepada teman-teman yang bertugas di media cetak atau elektronik. Mereka boleh bantu untuk bertindak. Ia juga boleh dikirim ke portal mahupun mana-mana laman sosial NGO. Setelah melakukan itu, baharulah kita boleh sebarkan kepada kawan-kawan.
Tindakan sedemikian amat bertanggungjawab.